Oleh Salawati Haji Yahya
BELAIT/BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Dua orang warga asing telah ditahan dalam Operasi Langis JIPK 79/2021 yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Kuala Belait ke atas sebuah bengkel di kawasan Jalan Nakhoda Manis, Seria, Kuala Belait, hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua warga asing tersebut berjawatan buruh binaan telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan selanjutnya setelah didapati melanggar peruntukan di bawah Peraturan 15 (3) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut apa yang tercatat di dalam pas kerja yang dibenarkan. Manakala, majikan dan pengurus bengkel terbabit telah diberikan surat panggilan untuk menjalani siasatan dan tindakan selanjutnya.
Sementara itu dalam operasi berlainan, Operasi Langis JIPK 78/2021 telah dijalankan di Daerah Brunei dan Muara dan menumpukan bilik sewa di kawasan Kampung Bunut Mukim Kilanas dan projek pengubahsuaian rumah, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Katok A, Mukim Gadong A.
Semasa pemeriksaan yang dijalankan di lokasi pertama, pihak berkuasa telah menahan seorang perempuan warga asing yang disyaki telah menyalahgunakan kebenaran pas imigresen yang diberikan kepadanya. Perempuan berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya.
Sementara di STKRJ Kampung Katok A, pihak Penguatkuasaan Undang-undang JIPK telah mendapati dua orang warga asing menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian rumah. Semasa pemeriksaan tersebut, salah seorang daripada warga asing berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Warga asing tersebut telah ditahan di bawah Bab 55 (4) (a) (b) (c) kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dibawa ke Ibu Pejabat JIPK untuk siasatan lanjut di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17.

Manakala dalam Operasi Langis JIPK 80/2021 yang dijalankan di sebuah bilik sewa terletak di Bangunan Kompleks Melabau, Kampung Serusop Jalan Muara, hari ini, telah mendapati seorang warga asing yang tinggal di bilik sewa berkenaan dan hasil siasatan mendapati pasport warga asing tersebut telah mansuh. Warga asing berkenaan telah ditahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh.
Warga asing berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguat-kuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan untuk di siasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK, mengalu-alukan orang ramai memberikan kerjasama dan maklumat mengenai pesalah imigresen dan nama pemberi akan dirahsiakan sepenuhnya.
Pemeriksaan ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan secara berterusan pemantauan, operasi dan pemeriksaan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.