BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) mengeluarkan peringatan susulan tiga operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi di negara ini bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen.
Hasil Operasi Panyap 89/2025 di sebuah restoran di Mukim Gadong ‘B’ mendapati empat warganegara asing diperiksa, dengan dua daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang kerana dipercayai bekerja menggunakan Pas Lawatan tanpa kebenaran sah.
Dalam Operasi Panyap 90/2025 di kawasan tempat letak kereta di Mukim Gadong ‘B’, dua warganegara asing ditahan selepas dipercayai melakukan kesalahan yang sama.
Sementara itu, Operasi Panyap 92/2025 di sebuah rumah sewa di Mukim Berakas ‘B’ melibatkan pemeriksaan terhadap lapan warganegara asing, di mana tujuh daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut.
Daripada mereka, enam dipercayai melakukan kesalahan bekerja menggunakan Pas Lawatan tanpa kebenaran sah manakala seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan bekerja bukan dengan majikan asal di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17.
JIPK menegaskan bahawa bekerja menggunakan pas lawatan tanpa kebenaran sah daripada jabatan berkenaan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17.
Kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi $2,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
JIPK menggesa orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pesalah imigresen melalui talian hotline di 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).


