BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bersama-sama dengan Bahagian Penguat kuasa, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Bersepadu Panyap 110/2205, yang menyasarkan sebuah syarikat perniagaan di Mukim Sengkurong.
Hasil daripada operasi bersepadu tersebut, lima orang warganegara asing telah diperiksa yang mana seorang daripadanya diarahkan untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, JIPK bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.
Selain itu, Bahagian Penguat kuasa Jabatan Buruh pula mendapati tiga kesalahan hasil daripada operasi bersepadu berkenaan. Kesalahan pertama adalah di bawah Bab 112(1) iaitu majikan didapati menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh, kesalahan kedua adalah di bawah Bab 112(2) iaitu melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing dan kesalahan ketiga pula adalah di bawah Bab 86 iaitu tempat kegiatan per-usahaan tidak diisytiharkan ke Jabatan Buruh.
Sementara itu, Bahagian Penguat kuasa Undang-undang Cawangan Kuala Belait, JIPK turut melaksanakan operasi penguat kuasa di bawah Operasi Panyap 112/2025 yang menyasarkan tempat penginapan pekerja asing di Mukim Liang.
Hasil daripada operasi tersebut, sembilan orang warganegara asing telah diperiksa dan tujuh orang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut, yang mana dua orang daripada warganegara asing tersebut dilaporkan lari daripada majikan dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh.




Manakala lima daripadanya telah melakukan kesalahan di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah dan dipercayai menyalahi Bab 15 (1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh.
Dalam pada itu juga, dua orang warganegara asing turut diarahkan untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.
Sementara itu, JIPK turut mengongsikan dua sesi pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu pendakwaan terhadap Edwin Yun Kok Kim @ Md Yazid Abdullah, seorang lelaki, warganegara Malaysia berumur 49 tahun yang merupakan kes peralihan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Individu tersebut dijatuhkan hukuman bagi dua kesalahan iaitu kesalahan pertama di bawah Seksyen 380, Kanun Keseksaan, Penggal 22 kerana mencuri dan kesalahan kedua di bawah Bab 36, Akta Imigresen, Penggal 17 kerana masuk semula ke negara ini setelah diusir atau dipulangkan secara sah.
Individu berkenaan mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan bagi kesalahan pertama dan penjara selama dua tahun sembilan bulan serta tiga kali sebatan bagi kesalahan kedua.
Hukuman dijalankan secara berturut-turut yang mana menjadikan keseluruhan hukuman kepada tiga tahun lima bulan penjara dan tiga kali sebatan. Hukuman berkuat kuasa pada tarikh individu ditahan iaitu 8 Oktober lalu.
Sementara itu, Muhammad Babul Hossain, seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 31 tahun juga dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan tiga kali sebatan setelah mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh. Hukuman mula berkuat kuasa pada 7 Oktober lalu.
JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).

