BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT –Sebuah rumah sewa di Mukim Berakas ‘B’telah dijadikan sasaran dalam Operasi Panyap 105/2025 yang dijalankan baru-baru ini.
Operasi dijalankan untuk menguatkuasakan Akta dan Peraturan yang dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230 dan Akta Pencegahan Penyeludupan Orang, Penggal 229, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang.
Hasil operasi telah membawa kepada pemeriksaan terhadap lima belas warganegara asing dan dua daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh
Manakala seorang lagi daripadanya turut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.
Sementara itu, seorang warganegara asing turut diarahkan untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.
Jabatan tersebut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi talian Hotline Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).


