Oleh Nurdiyanah R. –
NDAR SERI BEGAWAN & BELAIT, 28 JAN – Dalam usaha berterusan untuk membanteras pesalah-pesalah imigresen, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah melaksanakan tiga operasi penguatkuasa undang-undang di bawah Operasi Panyap 2025 yang menyasarkan beberapa lokasi.
Dalam Operasi Panyap 09/2025 yang dijalankan di kawasan letak kereta di Mukim Berakas ‘A’ dan premis perniagaan di Mukim Berakas ‘B’ di mana pemeriksaan telah dijalankan ke atas tiga orang warganegara asing yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut.
Seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport; seorang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.
Manakala seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Sementara itu, pihak penguat kuasa undang-undang turut melaksanakan Operasi Panyap 10/2025 dengan menyasarkan di sebuah rumah di Mukim Kuala Belait. Daripada hasil operasi berkenaan, dua orang warganegara asing telah pun diperiksa yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang untuk siasatan lanjut.
Seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Manakala seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bersubahat melakukan kesalahan imigresen.
Dalam Operasi Panyap 11/2025, pihak penguat kuasa undang-undang telah melaksanakan operasi itu di sebuah premis perniagaan di Mukim Gadong di mana pemeriksaan dijalankan ke atas tiga orang warganegara asing yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas
lawatan.
Tujuan operasi berkenaan adalah bagi menguatkuasakan Akta dan Peraturan yang dipertanggungjawabkan di bawah JIPK termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230 dan Akta Pencegahan Penyeludupan Orang, Penggal 229.
Sehubungan itu, pihak JIPK turut mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).