Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) baru-baru ini telah melaksanakan dua operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Panyap 2025 yang menyasarkan di beberapa buah kawasan di Daerah Brunei dan Muara.
Sasaran pertama di sebuah premis salun kecantikan di Mukim Beribi, seorang warganegara asing telah pun diperiksa dan kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang setelah dipercayai melakukan kesalahan Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.
Sasaran kedua di sebuah bangunan di Mukim Beribi, di mana pemeriksaan telah dijalankan ke atas empat orang warganegara asing dan dua orang daripadanya telah ditahan bagi siasatan lanjut.
Seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal. Manakala seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17.
Dalam masa yang sama, JIPK turut mengongsikan dua kes pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17.
Salah satu kes tersebut melibatkan Sakim, seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 54 tahun dijatuhkan hukuman denda atas kesalahan di bawah Bab 55(1)(e) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu mengambil pekerjaan kepada sembilan warganegara asing yang mana lapan daripadanya merupakan pemegang pas lawatan yang mansuh dan seorang lagi merupakan pemegang pas kerja di bawah jaminan pembantu rumah.
Bagi setiap kesalahan, individu didenda sebanyak $3,000 yang mana membawa kepada jumlah keseluruhan hukuman denda kepada $27,000 atau dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda tersebut. Hukuman mula berkuat kuasa pada 27 Mac.
Sementara itu, Joemar Esplana Aurellano, lelaki warganegara Filipina berumur 47 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.
Individu tersebut dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan tiga kali sebatan.
Hukuman mula berkuat kuasa pada 20 Mac.
Sehubungan itu, pihak JIPK turut mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).
Adapun tujuan operasi berkenaan diadakan adalah bagi menguatkuasakan Akta dan Peraturan yang dipertanggungjawabkan di bawah JIPK termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230 dan Akta Pencegahan Penyeludupan Orang, Penggal 229.