Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kem. Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Satu pelanggaran arahan telah didapati semasa sekatan pergerakan Operasi Peralihan yang dijalankan di seluruh negara dari jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi tadi.
Kesalahan tersebut adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah dan didapati di Daerah Brunei dan Muara, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada sidang media tersebut turut menyeru orang ramai untuk sama-sama berdoa dan memohon ke hadrat Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan penyakit khususnya COVID-19.