Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Sebanyak 12 denda kompaun telah dikeluarkan hasil pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan semasa Operasi Pulih dari 8 malam hingga 4 pagi tadi.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, 10 daripada kesalahan tersebut adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.
Yang Berhormat Dato mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa kesemua kesalahan tersebut telah didapati di Daerah Brunei dan Muara.
Dalam kenyataan itu, PPDB menegaskan bahawa penyebaran jangkitan wabak COVID-19 bukan sahaja menjadi fenomena baharu yang telah mengubah corak kehidupan manusia, bahkan telah menjadi suatu pandemik yang sangat terkesan kepada masyarakat dunia.

Persiapan setiap negara menghadapinya merupakan objektif yang hangat dan utama dibincangkan dalam merangka strategi pembendungannya.
Negara juga tidak terkecuali dan sentiasa berusaha mempersiapkannya melalui kerjasama yang kolektif dan koordinasi antara kementerian dalam menanganinya secara holistik.
Menurut PPDB lagi, atur gerak dan kesiapsiagaan itu turut meliputi komponen keselamatan yang menjurus kepada aspek pemantauan, kawalan, rondaan dan sekatan yang diterajui oleh PPDB bersama agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
PPDB juga menekankan bahawa Operasi Pulih yang telah berjalan selama 21 hari sejak mula dilaksanakan merupakan langkah-langkah tambahan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam strategi pengurangan pergerakan serta risiko penularan wabak berkenaan.
Justeru, tegas PPBD, adalah penting sebagai rakyat dan penduduk yang prihatin terhadap situasi negara untuk terus mengikuti perintah dan arahan yang dikeluarkan terutama sekali untuk berada di rumah kediaman masing-masing semasa Operasi Pulih dijalankan dalam hala tuju memutuskan rantaian jangkitan wabak sekali gus membantu memulihkan kembali sistem kesihatan negara.