Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops pulih: 14 masih langgar arahan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sebanyak 14 pelanggaran arahan telah dikeluarkan kompaun di seluruh negara semasa Operasi Pulih yang dijalankan dari 8 malam hingga 4 pagi tadi.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, 11 daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan statistik tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa kesemua 14 kesalahan itu, yang melibatkan pelanggaran di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, telah didapati di Daerah Brunei dan Muara.

    PPDB menekankan bahawa dengan matlamat yang jitu pihak kerajaan berserta perancangan pemerkasaan yang mampan akan membawa negara ini keluar daripada cengkaman pandemik COVID-19 kepada fasa endemik melalui Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19.

    Hakikatnya, usaha sama semua lapisan masyarakat di negara ini dalam kerjasama, tanggungjawab, prihatin dan bersikap pemedulian akan menjadi kunci penentu kepada keberhasilan dan pencapaian sebenar kerajaan, tambah kenyataan.

    PPDB juga berpendapat masyarakat awam akan menyaksikan wabak COVID-19 akan diterima menjadi sebahagian kehidupan masa kini, tetapi perlu bertindak bijak dan sentiasa berdisiplin dalam menerapkan protokol kesihatan dan keselamatan dalam menjayakan apa jua strategi pihak kerajaan dalam memulihkan sistem negara.

    Oleh itu bantuan pihak penguatkuasaan dalam pematuhan undang-undang akan dijulang sepenuhnya dengan kolaborasi agensi-agensi penguatkuasaan kementerian yang dipimpin oleh PPDB dalam sama-sama membantu negara dalam tugasan pemantauan, pengawalan dan juga keselamatan.”

    PPDB juga menegaskan bahawa rakyat dan penduduk negara perlu akur terhadap pematuhan SOP yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan. Terdapat kemungkinan ia tidak akan berlarutan selama-lamanya dan realiti tersebut mungkin dapat dicapai lebih awal dengan kerjasama padu semua pihak.

    Semangat perpaduan yang ditunjukkan adalah sesuatu yang mulia dan perlu berlarutan bagi membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19, menurut PPDB.

    Anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa memeriksa dokumen pekerja kritikal yang ditunjukkan oleh individu yang diperiksa semasa sekatan jalan diadakan bagi pemantauan Operasi Pulih di ibu negara. Sebanyak 14 lagi pelanggaran dicatatkan bermula 8 malam sehingga 4 pagi kelmarin, dengan 11 melanggar arahan duduk rumah. – Gambar serahan PPDB
    Anggota polis menjalankan pemeriksaan semasa Operasi Pulih yang diadakan baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda