Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Sebanyak 16 pelanggaran arahan telah didapati semasa Operasi Pulih yang dijalankan dari pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, 13 daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.
Manakala itu, kesalahan-kesalahan lain yang didapati adalah dua kesalahan tidak memakai pelitup muka dan satu kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan per-kara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan pula menyatakan bahawa kesemua pelanggaran arahan tersebut didapati di Daerah Brunei
dan Muara. Menurut PPDB, meskipun fasa endemik semakin hampir dikecapi, wabak virus COVID-19 dipercayai tetap tidak akan pupus malah akan tetap berada bersama-sama dalam kalangan masyarakat.
Justeru, saranan pihak kerajaan terhadap pengambilan vaksin merupakan medium utama dalam memastikan tahap program imunasi orang ramai berada di tahap yang tinggi bagi tujuan menangani daripada jangkitan terus menular atau tidak dapat dikawal.