Ops Pulih: 22 lagi pelanggaran arahan dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT- Sebanyak 22 pelanggaran dikesan dalam pemantauan oleh agensi penguatkuasaan semasa larangan keluar rumah jam 8 malam sehingga 4 pagi di seluruh negara.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 12 kompaun atas kesalahan melanggar arahan keluar rumah, sembilan kerana tidak mempunyai aplikasi BruHealth dan satu lagi kompaun dikeluarkan kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Keseluruhan kompaun bermula 8 malam sehingga 4 pagi daripada rondaan di seluruh negara ialah sebanyak 18 kompaun dan empat kompaun daripada sekatan jalan raya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi arahan dikeluarkan demi memulihkan negara daripada jangkitan COVID-19.