Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Hanya tiga pelanggaran arahan telah dikesan dan dikeluarkan denda kompaun semasa Operasi Pulih dijalankan bermula 8 malam hingga 4 pagi tadi, jumlah terendah sejak mula dikuatkuasakan pada 4 Oktober lalu.
“Dua daripada kesalahan tersebut adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah, manakala satu lagi tidak mempunyai aplikasi BruHealth,” kata Menteri Kesihatan, Yang
Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.
Sementara itu, menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), daripada tiga pelanggaran kesalahan tersebut, dua kesalahan telah didapati di Daerah Belait, dan satu lagi telah didapati di Daerah Brunei dan Muara.
PPDB turut mengongsikan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah mengheret penduduk global kepada fenomena baharu meliputi kesan meluas terhadap pengaruh sistem kesihatan, pergerakan sosial, persekitaran, budaya serta ekonomi.
“Aspek pematuhan dalam skala holistik juga merupakan tunjang utama dalam proses pengawalan serta sebagai tindak balas yang mampan dalam menurunkan kadar penularan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” tegas PPDB dalam kenyataan itu.
“Sepertimana strategi yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam menguatkuasakan Operasi Pulih menjangkau langkah-langkah kawalan pergerakan serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) memberikan impak berkesan dan dihasratkan akan membuahkan hasil yang bermanfaat bagi menuju ke fasa endemik,” tambah PPDB.
Menurut PPDB, penugasan yang dijalankan melalui Operasi Pulih tersebut akan diperkemas lagi termasuk meneliti aspek-aspek kebaikan, kejayaan dan kelemahan bagi memastikan penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam akur dan patuh akan arahan pihak kerajaan dalam memutuskan rangkaian wabak COVID-19.