Ops Pulih kesan 13 lagi kesalahan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Sebanyak 11 daripada 13 kesalahan yang dilaporkan semasa Operasi Pulih dijalankan dari jam 8 malam hingga 4 pagi tadi adalah berkaitan pelanggaran arahan teranah di rumah.

“Manakala dua pelanggaran lagi berkaitan kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth dan tidak memakai pelitup muka,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), daripada 13 pelanggaran arahan tersebut, sembilan kesalahan telah didapati di Daerah Brunei dan Muara dan empat lagi kesalahan di Daerah Belait.

PPDB juga turut menekankan mengenai garis panduan dan langkah-langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dalam menangani situasi penularan wabak COVID-19 di negara ini, yang mana ianya tidaklah bertujuan untuk menyusahkan masyarakat semua.

“Bahkan sebaliknya, bukan sahaja mampu untuk melindungi diri sendiri malah meliputi keluarga dan orang sekeliling, termasuklah kalangan barisan hadapan negara,” jelas kenyataan itu.

Walaupun garis panduan tersebut memerlukan sedikit masa untuk masyarakat membiasakan diri, tetapi menurut PPDB, ianya tidak sukar untuk diikuti.

“Pihak kerajaan juga percaya bahawa penduduk negara akan berhasil dalam mengharungi kehidupan dalam norma baharu ini selagi mana tanggungjawab berkenaan ditanai dan dipatuhi dengan penuh komitmen dan kewaspadaan yang tinggi,” jelas PPDB lagi dalam kenyataan tersebut.

PPDB juga menegaskan masyarakat awam juga perlu sedar dan mengetahui seorang individu yang dijangkiti positif COVID-19 akan mampu mencetuskan potensi suatu kluster yang cepat merebak dan akibatnya mengeruhkan lagi keadaan pandemik ini.

“Oleh itu, dengan penguatkuasaan langkah-langkah kawalan berteraskan penerapan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan pihak kerajaan dihasrat dapat mengurangkan lengkungan penularan wabak dan mengawal pembendungan dengan sebaiknya,” tambah kenyataan.

PPDB bersama agensi penguatkuasaan yang terlibat menegaskan kepada orang ramai untuk tidak bersikap alpa, jangan mementingkan diri sendiri dan sentiasa kekal berwaspada dengan melindungi diri sendiri dan kesannya mampu melindungi satu sama yang lain.

Antara yang ditahan pada Operasi Pulih dijalankan kelmarin.