Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPS Sahur cekup lelaki miliki barang tegahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Aduan bunyi bising di sebuah kawasan di Kampung Sungai Besar telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) awal pagi tadi dalam Operasi Sahur.

    Menurut kenyataan dikeluarkan PPDB di sini, hari ini, suspek ditahan sekitar jam 2:30 pagi kerana memiliki sejumlah barang-barang tegahan seperti paket-paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu dan ganja, peralatan penyalahgunaan dadah, dua paket rokok dan 22 botol minuman keras.

    Operasi Sahur itu diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Timbalan Penguasa Polis Pengiran Khairul Hakimin bersama 30 pegawai dan anggota yang terdiri daripada para detektif dari Balai Polis Muara yang melakukan pemeriksaan mengejut di rumah suspek setelah menerima maklumat bunyi bising daripada orang ramai.

    Kesemua barang tegahan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan manakala penemuan paket berisi ketulan hablur dipercayai dadah diserahkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.

    Barang tegahan yang ditemui semasa Operasi Sahur dijalankan. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda