Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops SAKAT: 18 warga asing ditahan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Seramai 18 orang warga asing telah ditahan semasa Operasi SAKAT yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Belait, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, tiga orang telah ditahan dalam Operasi SAKAT 128/2023 yang menyasarkan sebuah rumah di Mukim Sengkurong.

    Dua daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(2), Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih dari enam bulan atau denda tidak lebih dari $2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, iaitu tinggal melebihi masa yang dibenarkan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan tiga kali sebatan.

    Mana-mana majikan yang mengambil dan menggaji pesalah imigresen boleh dikenakan di bawah Peraturan Imigresen 35(2) dengan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.

    ATAS & BAWAH: Pegawai-pegawai penguat kuasa semasa menjalankan Operasi SAKAT di beberapa lokasi, baru-baru ini. – Gambar serahan JIPK

    Pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan semasa Operasi SAKAT 130/2023. – Gambar serahan JIPK

    Sementara itu, Operasi Sakat 129/2023 menyasarkan rumah-rumah sewa di tiga lokasi berasingan di Mukim Mentiri, Gadong B dan Berakas B.

    Di Mukim Mentiri, seramai 25 orang warganegara asing telah diperiksa dan sembilan daripadanya telah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah dan salah seorang dikenal pasti sebagai pekerja lari daripada majikan.

    Operasi di sebuah bangunan di Gadong B, lima warga-negara asing telah diperiksa dan dua daripadanya telah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah.

    Dalam operasi menyasarkan rumah sewa kawasan Mukim Berakas B, sembilan warganegara asing telah diperiksa dan dua daripadanya telah ditahan yang mana salah seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(2) iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.

    Manakala itu, Operasi Sakat 130/2023 telah menyasarkan satu projek pembinaan rumah di kawasan Kampung Tunggulian, Mukim Liang di mana hasil pemeriksaan, dua lelaki warga asing telah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang Pas Imigresen yang sah sewaktu pemeriksaaan dijalankan.

    Seorang lagi lelaki warga asing pula telah dikeluarkan Pas Khas untuk disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 seterusnya diarahkan melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Kuala Belait untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

    Sehubungan itu, JIPK mengingatkan orang ramai bahawa memberi pekerjaan atau menggaji mana-mana pesalah imigresen termasuk warganegara asing yang memegang pas lawatan adalah satu kesalahan yang mana boleh diambil tindakan undang-undang.

    Para majikan atau penjamin juga perlu lebih peka dan memastikan pas-pas imigresen warganegara asing adalah sentiasa sah mengikut Akta dan Peraturan Imigresen.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda