Saturday, September 21, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops SAKAT: 6 warga asing ditahan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Enam orang warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Bandar Seri Begawan dalam Operasi SAKAT yang menyasarkan beberapa lokasi.

    JIPK menjelaskan, Operasi SAKAT JIPK 51/2023 yang dijalankan kelmarin menyasarkan dua tempat iaitu rumah sewa di Mukim Sengkurong dan kedai runcit di Mukim Berakas B.

    Dalam pemeriksaan yang dijalankan di rumah sewa di kawasan Mukim Sengkurong, tiga orang lelaki warganegara asing telah ditahan untuk siasatan lanjut, di mana dua daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu dipercayai tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh.

    Sementara itu, seorang warga asing ditahan dalam pemeriksaan di sebuah kedai runcit Kampung Manggis kerana dipercayai melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

    Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan juga menjalankan Operasi SAKAT JIPK 52/2023 yang menyasarkan pemeriksaan di sebuah rumah di Mukim Gadong.

    Dalam pemeriksaan itu, tiga warganegara asing telah ditahan untuk siasatan lanjut dan salah seorang daripadanya dilaporkan sebagai pekerja lari daripada majikan (PLDM).

    Dalam pada itu, JIPK akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan secara berterusan pemantauan, operasi dan pemeriksaan secara bersendirian atau bersepadu dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

    Sementara itu, pihak jabatan turut mengingatkan orang ramai bahawa memberi pekerjaan atau mengaji mana-mana pesalah imigresen adalah menjadi kesalahan yang mana boleh diambil tindakan undang-undang.

    Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, jabatan berkenaan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

    Semasa Operasi SAKAT JIPK 52/2023, Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang JIPK Bandar Seri Begawan turut menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Mukim Gadong kelmarin.
    Semasa Operasi SAKAT JIPK 51/2023 dijalankan, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda