Friday, January 3, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sakat: 7 warga asing ditahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Tujuh warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang (BPU) Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan lanjut dalam Operasi Sakat 154/2023 di Pasar Tani Setenaga, Mukim Sengkurong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BPU JIPK, di sini, seorang daripada yang ditahan dipercayai melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu Peraturan 15(1), tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh, Peraturan 15(2) iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan Peraturan 15(3) iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

    Manakala itu, tiga individu lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2) iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan juga Peraturan 15(3).

    Turut didapati, dua daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4) iaitu bekerja dengan menggunakan pas lawatan, manakala seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2).

    Sehubungan itu, JIPK mengingatkan orang ramai terutama para majikan untuk memastikan pas-pas pekerja adalah sentiasa sah dan memastikan pekerja mereka bekerja mengikut jawatan yang dibenarkan.

    Ke arah aktiviti penguatkuasaan itu, jabatan berkenaan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (Bandar Seri Begawan) serta 8984111
    (Kuala Belait).

    Pegawai penguat kuasa dari JIPK semasa menjalankan pemeriksaan di Pasar Tani Setenaga, Mukim Sengkurong dalam Operasi Sakat 154/2023 baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda