Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Dua warga asing telah diarah melaporkan diri setelah didapati melakukan kesalahan dalam dua Operasi SAKAT yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait.
Dalam Operasi SAKAT 139/2023 yang dijalankan pada hari ini, menyasarkan sebuah premis perniagaan di Kampung Bunut, seorang perempuan warganegara asing dipercayai melakukan kesalahan di bawah peraturan 9(4) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja dengan menggunakan pas lawatan.
Manakala itu, Operasi SAKAT 133/2023 yang menyasarkan projek pengubahsuaian bangunan di Jalan Sungai Pandan, Kuala Belait telah memeriksa 11 orang warga asing.
Seorang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(3) iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera dalam pasport, dan diarah untuk melaporkan diri ke BPU JIPK Kuala Belait bagi siasatan lanjut.
Ke arah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang warganegara asing di Negara Brunei Darussalam, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).



