Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Dua warga asing telah ditahan dalam dua Operasi SAKAT yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, seorang lelaki warga asing ditahan dalam Operasi Sakat 140/2023 di sebuah rumah di Mukim Gadong A di mana lelaki berkenaan dibawa ke BPU untuk siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa.
Sementara itu, seorang perempuan warga asing ditahan dalam Operasi Sakat 142/2023 di sebuah gerai makan di Mukim Berakas A dan dibawa ke BPU.
Individu tersebut telah dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda $500 bagi gantian sebatan atas kesalahan tinggal lebih masa, manakala itu kegagalan membayar denda, ditambah sebulan penjara. Hukuman berkuat kuasa bermula 11 Oktober.
JIPK menyatakan, jika sabit kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen Penggal 17 boleh dikenakan penjara tidak kurang daripada tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan tiga kali sebatan.
Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini.
Dalam pada itu, mereka juga boleh disenarai hitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di Negara Brunei Darussalam.
Manakala itu, majikan yang mengambil dan mengaji pesalah Imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap pesalah imigresen.
Sebarang maklumat berhubung pesalah imigresen adalah dialu-alukan dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).



