Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sakat selesai dilaksanakan, kini Ops Kabat beraksi

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Sebanyak 338 operasi penguatkuasaan undang-undang yang dikenali sebagai Operasi Sakat telahpun dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) sepanjang tahun 2023.

    Dalam usaha berterusan membendung isu-isu berkaitan imigresen, JIPK pada tahun ini melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Kabat JIPK 2024 dengan empat operasi telah dijalankan pada awal tahun ini.

    Operasi Kabat 01/2024 dan Operasi Kabat 04/2024 telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang JIPK cawangan Kuala Belait.

    Manakala itu, Operasi Kabat 02/2024 dan Operasi Kabat 03/2024 dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang JIPK, Bandar Seri Begawan.

    Operasi Kabat 01/2024 telah disasarkan di satu tapak projek pembinaan pagar dan penyelenggaraan penghawa dingin di Mukim Kuala Belait di mana pemeriksaan telah dibuat ke atas enam orang warganegara asing.

    Operasi Kabat yang dilaksanakan di salah sebuah rumah sewa, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    Seorang warganegara asing ditahan bagi siasatan lanjut. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    Seorang warga asing ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial. – GAMBAR SERAHAN JIPK

    Lima daripadanya telahpun ditahan dan dibawa ke Bahagian Pengkuatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut yang mana tiga orang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal; seorang lagi dipercayai melakukan dua kesalahan iaitu Peraturan 15(3), bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera dalam pasport dan Peraturan 35(1) iaitu mengambil bekerja pesalah imigresen tanpa pengetahuan majikan asal; dan seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan Peraturan 35(1) iaitu mengambil bekerja pesalah imigresen tanpa pengetahuan majikan asal.

    Operasi Kabat 02/2024 menyasarkan sebuah rumah sewa di Mukim Pengkalan Batu di mana pemeriksaan telah dijalankan ke atas seorang warganegara asing yang kemudiannya ditahan bagi siasatan lanjut.

    Individu itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1) iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh.

    Operasi Kabat 03/2024 pula menyasarkan sebuah premis perniagaan di Mukim Gadong di mana seorang warga asing ditahan bagi siasatan lanjut kerana dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.

    Manakala itu, Operasi Kabat 04/2024 menyasarkan sebuah rumah sewa di Jalan Dipa Negara, Mukim Kuala Belait di mana seorang warganegara asing ditahan bagi siasatan lanjut.

    Individu tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1) iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh dan dipercayai pekerja yang lari daripada majikan.

    Ke arah meningkatkan aktiviti penguatkuasa undang-undang berkaitan warganegara asing di Negara Brunei Darussalam, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda