Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sakat tahan seorang warga asing

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Seorang wanita warga asing yang memegang pas pelawat telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Cawangan Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan lanjut kerana dipercayai melanggar akta pas melawat di bawah Peraturan 9 (4) Peraturan Imigresen Penggal 17.

    Ia merupakan penahanan hasil Operasi Sakat JIPK 67/2023 menyasarkan Gerai Pasar Malam di Daerah Belait baru-baru ini.

    Penjamin wanita itu diarahkan hadir ke bahagian penguatkuasaan itu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan, ketua BPU JIPK Kuala Belait mengingatkan para pelawat dan pelancong agar tidak mengambil sebarang pekerjaan bergaji atau tidak serta sentiasa mematuhi undang-undang dan akta imigresen semasa berada di negara ini.

    Mana-mana pemegang pas pelawat sosial atau pelancong ke negara ini tidak dibenarkan mengambil sebarang bentuk pekerjaan bergaji atau tidak.

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi $2,000, jelasnya.

    Operasi Sakat yang disasarkan di Gerai Pasar Malam di Daerah Belait, baru-baru ini. – Gambar serahan JIPK.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda