Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops SAKAT: Warga asing lari daripada majikan ditahan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Seorang perempuan warga asing yang tersenarai sebagai pekerja lari daripada majikan telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Bandar Seri Begawan semasa Operasi SAKAT JIPK 53/2023 yang menyasarkan sebuah tempat penginapan di Mukim Kianggeh, pagi kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan, di sini, kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh dikenakan penjara tidak kurang daripada tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang tiga kali sebatan.

    Tindakan seterusnya, pas kerja akan dibatalkan dan diusir dari Negara Brunei Darussalam di mana nama-nama mereka boleh disenaraihitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di Negara Brunei Darussalam.

    Manakala itu, majikan yang mengambil, mengaji pesalah imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.

    JIPK mengingatkan orang ramai bahawa jabatan berkenaan akan sentiasa menjalankan operasi, menangkap, menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana orang yang menyalahi undang-undang mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

    Bagi mana-mana warganegara asing di negara ini yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan dan jika sabit kesalahan akan dihadapkan ke mahkamah, dipenjarakan dan diusir ke negara asal dan nama-nama mereka disenaraihitamkan.

    Operasi dan pemeriksaan berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat dan kerjasama daripada orang ramai berpandukan kepada maklumat yang terkumpul sama ada secara persendirian atau bersama agensi penguatkuasaan yang lain.

    Ia bertujuan untuk menguatkuasakan Akta dan Peraturan Imigresen, Akta dan Peraturan Pasport dan memastikan ia dipatuhi dan dalam usaha mengesan pesalah imigresen, menguatkuasakan Perintah Pencegahan Penyeludupan Orang 2019 dan Perintah Antipemerdagangan Orang 2019 serta memastikan tiada kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan di Negara Brunei Darussalam.

    Pihak penguat kuasa JIPK semasa menjalankan operasi tersebut. – Gambar serahan JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda