Ops Sanggah 128 periksa pekerja, keluarkan satu kompaun

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (LED), Jabatan Buruh, LED Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan LED Jabatan Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini menjalankan Operasi Bersepadu Sanggah 128/2020.

Operasi melibatkan 15 orang pegawai penguatkuasaan undang-undang itu melakukan pemeriksaan ke atas kawasan perumahan pekerja asing di Kampung Sungai Akar dan Jalan Kebangsaan Lama bagi membanteras penyalahgunaan Lesen Pekerja Asing dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan pekerja dijaga oleh para majikan selaras dengan syarat Lesen Pekerja Asing dan Perintah Pekerjaan 2009.

Kegagalan majikan menyediakan dan menyelenggarakan tempat tinggal yang bersih, selesa dan selamat di bawah Perintah Pekerjaan 2008 Bab 80 (a) (b) (c) boleh diambil tindakan di bawah Bab 148 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih $3,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada operasi itu, sebuah syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak $200 oleh LED Jabatan Bandaran BSB atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (b) kerana membuang sampah atau sebarang benda di tempat awam. Syarikat terbabit diberikan tempoh tujuh hari menjelaskan denda dan jika gagal boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak lebih tiga bulan.

Operasi bersepadu berkenaan dijalankan bagi sama-sama meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan agensi masing-masing.