Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, pada 25 Mac lalu, telah menjalankan Operasi Selongkar 63/2021 di Kampung Berangan, Bandar Seri Begawan yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, di sini, hari ini, menyatakan bahawa semasa operasi di salah sebuah unit di flat perumahan berkenaan, Jabatan Buruh telah mendapati dua orang pekerja asing perempuan berlainan jaminan bekerja sebagai pekerja domestik.
Seorang pekerja adalah jaminan syarikat manakala seorang lagi, pekerja domestik jaminan majikan lain.
Kenyataan menjelaskan bahawa individu yang menggaji kedua-dua pekerja berkenaan boleh diambil tindakan kerana tidak mempunyai Lesen Perkhidmatan Rumah tangga.
Ini adalah bertentangan dengan Perintah Pekerjaan 2009, Bab 112 iaitu menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada pesuruhjaya buruh di mana jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan kompaun sebanyak $300 bagi kesalahan pertama dan $600 bagi kesalahan kedua.
Manakala itu, majikan asal bagi pekerja syarikat berkenaan boleh diambil tindakan kerana menyalahi Bab 112 (2), Perintah Pekerjaan 2009 iaitu melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing.
Jika sabit kesalahan, majikan akan dikenakan denda kompaun berjumlah $600 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan yang kedua pula, majikan akan dikenakan denda kompaun berjumlah $900 bagi kesalahan kedua.
Seterusnya, majikan asal pekerja domestik itu boleh dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan melanggar Bab 86, Perintah Pekerjaan 2009 di mana jika sabit kesalahan denda kompaun sebanyak $300 akan dikenakan bagi kesalahan pertama dan $600 bagi kesalahan kedua.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja menurut kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan, pembayaran gaji tepat pada waktunya dan memberikan tempat tinggal yang bersih.