Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Sebanyak 23 kesalahan dicatatkan dalam Operasi Sepadu yang dijalankan di Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah, kelmarin.
Daripada jumlah tersebut, 21 adalah kes kompaun direkodkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) manakala itu, dua kesalahan di bawah akta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) hari ini, operasi yang dilaksanakan adalah sempena musim cuti persekolahan dan tahun baharu yang bakal tiba.
Operasi tersebut melibatkan 55 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguatkuasaan seperti JSKLL, Balai Polis Limau Manis, PDB, JPD dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan diketuai oleh Pemangku Ketua Unit Pentadbiran JSKLL, Timbalan Penguasa Polis, Ang Lay Bee.
Antara lain objektif operasi adalah untuk meningkatkan disiplin masyarakat sebagai pengguna jalan raya dalam sama-sama menjalankan tanggungjawab dan memastikan undang-undang yang diperuntukkan ke atas agensi-agensi yang terlibat dilaksanakan dan dipatuhi.
Sehubungan itu, PDB juga menasihatkan orang ramai supaya akan sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka.