Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Daripada 478 warga asing yang diperiksa semasa Operasi Bersepadu Kabat 19/2024 menyasarkan beberapa buah bangunan komersial di Mukim Sengkurong, seramai 120 individu telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan lanjut atas kegagalan mengemukakan sebarang dokumen.
Menurut kenyataan JIPK hari ini, operasi bersepadu itu melibatkan Bahagian Penguat kuasa Undang-undang JIPK, bersama agensi-agensi penguat kuasa undang-undang daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) iaitu pegawai-pegawai dari Daerah Polis Brunei Muara, Balai Polis Sengkurong, Unit Interpol, dan Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia; Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN); Biro Kawalan Narkotik (BKN); Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU) dan Jabatan Buruh telah melaksanakan baru-baru ini.
Sementara itu, operasi tersebut mendapati beberapa individu juga dipercayai menyalahi kesalahan-kesalahan di bawah bidang tugas agensi-agensi penguat kuasaan undang-undang lainnya iaitu dua orang individu dipercayai menyalahi kesalahan di bawah JKED, lima orang individu di bawah Jabatan Buruh, lima orang individu di bawah PPDB dan lima orang individu lagi di bawah JPD.
Operasi itu adalah salah satu usaha berterusan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang di Negara Brunei Darussalam dalam misi membanteras dan membendung kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di negara ini.
Oleh itu, JIPK terus mengalu-alukan orang ramai untuk terus memberikan sebarang maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi terus ke talian hotline Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).


