Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sepadu Waspada kesan dua kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Sebuah gerai menjual nasi beriani di Kampung Mata-mata telah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu Bab 112(2), melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing yang mana majikan telah menjalankan kegiatan lain daripada yang telah dibenarkan iaitu kegiatan kedai runcit tetapi menjalankan kegiatan gerai menjual nasi beriani dan Bab 86, tempat kegiatan dan tempat tinggal pekerja bukan di tempat yang diisytiharkan ke Jabatan Buruh.

    Kesalahan berkenaan didapati semasa pemeriksaan Operasi Sepadu Waspada 01/2025 baru-baru ini oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di Kampung Mata-Mata pada 12 Februari.

    Operasi dijalankan bertujuan menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278.

    Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi setiap kesalahan. Sekiranya gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menjalankan kegiatan yang selaras dengan kegiatan yang telah dibenarkan dan tempat kegiatan serta tempat tinggal pekerja hendaklah diisytiharkan ke Jabatan Buruh.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah gerai menjual nasi beriani di Kampung Mata-Mata baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda