Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh baru-baru ini (22 Mei) telah mendapati beberapa kesalahan semasa Operasi Bersepadu Siaga 2024 di tiga lokasi perumahan pekerja iaitu di kawasan Kampung Tanjung Nangka, Kampung Lambak dan Kampung Subok.
Dikendalikan bersama BPU, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), operasi itu telah mendapati tiga kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 yang dipercayai dilakukan oleh majikan.
Kesalahan-kesalahan berkenaan termasuk di bawah Bab 71 iaitu majikan gagal memberikan cuti tahunan, Bab 72 majikan gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan yang dibenarkan dan Bab 112 melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerja yang dijamin ditempatkan di perumahan pekerja yang bukan di tempat yang diisytiharkan ke Jabatan Buruh.
JPE turut memberikan teguran bagi pendawaian yang tidak teratur dan usang manakala itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK tidak mendapati sebarang kesalahan.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut. Jika gagal membayarnya, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti menyediakan perumahan pekerja yang bersih, mencukupi dan sempurna serta alamat tempat tinggal pekerja hendaklah diisytiharkan ke Jabatan Buruh.
Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar undang-undang di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).



