BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Empat kesalahan telah didapati semasa Operasi Siaga 48/2024 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh pada 5 Mac lalu.
Operasi tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, pemeriksaan yang dijalankan di salah sebuah restoran di kawasan Kampung Lambak Kanan telah mendapati dua kesalahan di bawah perintah berkenaan yang dilakukan oleh majikan iaitu di bawah Bab 44, pemotongan gaji yang tidak dibenarkan oleh Pesuruhjaya Buruh dan Bab 112(2), pekerja berjawatan pelayan didapati melakukan pekerjaan sebagai memasak.
Manakala itu, pemeriksaan di Kampung Beribi mendapati seorang pekerja asing jaminan syarikat berjawatan baker melakukan pekerjaan sebagai jurujual kuih-muih di sebuah bangku perusahaan.
Perbuatan tersebut bertentangan di bawah Bab 112(2) iaitu kesalahan melanggar syarat-syarat lesen melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan dan di bawah Bab 86 iaitu menempatkan pekerja asing bukan di tempat yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh yang mana penempatan pekerja-pekerja asing di bangku, pushcart, booth, kios dan berjaja adalah tidak dibenarkan.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009. Jabatan itu juga menasihatkan penempatan pekerja-pekerja asing di bangku, pushcart, booth, kios dan berjaja serta gerai di Sumbangsih Mulia adalah tidak dibenarkan.


