Oleh Yusrin Junaidi –
BELAIT, 30 MEI – Empat kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 telah didapati dilakukan oleh majikan semasa Operasi Siaga yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh, Cawangan Daerah Belait di kawasan Sungai Pandan 7, baru-baru ini.
Dalam operasi tersebut majikan gagal menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis yang merupakan kesalahan di bawah Bab 10, gagal memberikan cuti rehat di bawah Bab 63 (1), gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan di bawah Bab 70, dan gagal membayar gaji bayaran kerja lebih masa di bawah Bab 39 (2).
Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah perintah berkenaan.
Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 atau 7298989.
