Friday, December 20, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Siaga kesan empat kesalahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Sebanyak empat kesalahan didapati di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan kepada pekerja-pekerja tempatan dan asing semasa pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh, bagi kegiatan pembersih di kawasan Gadong pada 14 Disember lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, di sini, menyatakan jabatan berkenaan mengendalikan Operasi Siaga 283/2024, untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Dalam operasi berkenaan, kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh majikan ialah Bab 10 majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan dan Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.

    Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun berkenaan, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan kepada pekerja, memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan, memberikan cuti tahunan bergaji di tahun yang pertama tidak kurang dari tujuh hari selepas bekerja selama tiga bulan dengan majikan yang sama dan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan hendaklah dibayar oleh majikan.

    Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, mereka boleh berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Pegawai penguatkuasa undang-undang semasa mengendalikan operasi tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda