BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Lima kesalahan telah dikesan semasa pemeriksaan yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh di kawasan Kampung Lumut, Kuala Belait pada 11 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, Operasi Siaga 278/2024 bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Kesalahan-kesalahan yang didapati di bawah Perintah Pekerjaan 2009 iaitu Bab 10 majikan tidak menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 44 membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan, Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan, dan Bab 112 (2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing, yang mana pekerja berjawatan buruh kedai membuat pekerjaan pemotongan daging.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan, 2009 jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya serta memberikan cuti tahunan berbayar mengikut kelayakan pekerja menurut Perintah Pekerjaan 2009.
Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.