Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Pelbagai kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 telah dikesan dilakukan oleh majikan dalam dua Operasi Siaga yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh bagi menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi, baru-baru ini.
Dalam Operasi Siaga 64/2024 yang dijalankan pada 25 Mac lalu di kawasan Kampung Jerudong, empat kesalahan dikesan dilakukan oleh majikan iaitu di bawah Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan, Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, Bab 80 gagal menyediakan tempat tinggal bersih yang mencukupi dan sempurna serta Bab 81 tempat tinggal pekerja tidak menepati kehendak undang-undang.
Manakala itu, Operasi Siaga 71/2024 pada 2 April lalu yang menumpukan Kawasan Kampung Jaya Setia telah mendapati lima kesalahan iaitu di bawah Bab 10 majikan gagal menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis kepada pekerja, Bab 39 majikan gagal membayar kerja lebih masa, Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 dan Bab 72.
Jabatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menegaskan, bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut, dan jika gagal membayarnya, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Selain itu majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.
