BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Pelbagai kesalahan telah dikesan dilakukan oleh majikan dalam dua Operasi Siaga yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Manakala itu, Operasi Siaga KB 193/2024 yang dijalankan pada 28 Ogos lalu di kawasan Jalan Bunga Rambai, Kuala Belait telah mendapati tiga kesalahan dilakukan oleh majikan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing, iaitu Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan dan Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan kecemasan.
Dalam Operasi Siaga 195/2024 yang dijalankan pada 29 Ogos lalu di Kawasan RPN Kampung Panchor Mengkubau, tiga kesalahan telah dikesan iaitu dua kesalahan di bawah Bab 112, menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing yang mana pekerja asing dalam jaminan didapati menyara hidup sendiri dengan mencari pendapatan dengan memotong rumput dari rumah ke rumah dan juga kesalahan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Buruh kerana Lesen Pekerja Asing didapati telah mansuh dan Bab 10, tidak menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis dengan majikan menjamin.
Jabatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menegaskan bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut. Jika gagal membayar denda kompaun itu, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya. Majikan juga hendaklah menggaji pekerja-pekerja asing yang dibawah jaminan syarikat sendiri dan tidak membiarkan pekerja-pekerja mencari pekerjaan sendiri serta hendaklah membaharui Lesen Pekerja Asing sebulan sebelum mansuh dan majikan juga hendaklah menyediakan kontrak perkhidmatan dengan pekerja yang dijamin.
Selain itu majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.