BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Sebanyak lima kesalahan telah didapati semasa Operasi Siaga 259/2024 yang telah dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di beberapa tempat di kawasan Kampung (Kg) Jaya Setia bagi kegiatan klinik haiwan dan kedai pakaian; dan di Kg Mentiri bagi kegiatan restoran pada 18 November lalu.
Operasi tersebut dikendalikan bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Kesalahan-kesalahan yang didapati itu adalah di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan antaranya Bab 39(2) gagal membayar bayaran kerja lebih masa; Bab 10 tidak menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis; Bab 44 membuat pemotongan gaji yang tidak dibenarkan; Bab 70 tidak memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan; dan Bab 71 majikan gagal memberikan cuti tahunan.
Bagi kesalahan tersebut, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti membayar bayaran kerja lebih masa kepada pekerja, memberikan cuti tahunan bergaji selepas tiga bulan bekerja dan menyediakan kontrak perkhidmatan dengan pekerja.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.