Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Empat orang warga asing telah diperiksa dalam Operasi TUMPAS yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Cawangan Kuala Belait pada 18 April lalu yang menyasarkan projek penambahan rumah di kawasan Kampung Panaga, Mukim Seria.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, dua warga asing telah diarahkan melapor ke bahagian berkenaan bagi siasatan dan tindakan selanjutnya setelah didapati melanggar Peruntukan di bawah Peraturan 15 (2) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu mana-mana pekerja asing yang bekerja di negara ini hendaklah bekerja mengikut majikan yang asal, manakala itu, dua lagi telah dibawa untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, majikan-majikan yang terlibat telah diarahkan hadir ke bahagian berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Kuala Belait mengingatkan para majikan supaya patuh dan tidak melanggar sebarang akta dan peraturan imigresen dan memastikan pekerja-pekerja mereka melakukan kerja-kerja seperti yang ditetapkan.
Ke arah aktiviti penguatkuasaan itu, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen.
Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dengan menghubungi talian Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).
