BELAIT, 28 OKT – Dua kesalahan telah dikesan oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait semasa menjalankan Operasi Waspada 203/2025 pada 22 Oktober.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, semasa pemeriksaan ke atas sebuah hotel di Pekan Kuala Belait telah mendapati kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dilakukan oleh majikan, iaitu Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas, dan 112 (2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing, yang mana pekerja asing berjawatan sebagai housekeeper didapati membuat pekerjaan akauntan.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278. Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti pembayaran gaji tepat pada waktunya, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang telah diwartakan, memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan dan memberikan hak cuti tahunan kepada pekerja serta membiayai tiket balik pekerja yang sudah tamat kontrak perkhidmatan.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.





