BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Operasi Waspada 193/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh di kawasan perumahan Kg Rimba pada 6 Oktober lalu telah mendapati sebanyak empat kesalahan yang dilakukan oleh majikan dan pekerja dalam kegiatan potong rumput dari rumah ke rumah.
Atas pemeriksaan yang dilakukan, kesalahan-kesalahan tersebut adalah di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 Bab 10 Pekerja tidak disediakan perkhidmatan secara bertulis.
Tiga lagi kesalahan turut dikesan di bawah Bab 112(2) Kesalahan iaitu melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing apabila pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan buruh pertanian melakukan pekerjaan sebagai potong rumput, majikan yang menjamin gagal memberikan pekerjaan dan pekerja asing didapati bekerja sendiri secara bebas.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis kepada pekerja, memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh dan pekerja-pekerja asing tidak dibenarkan bekerja secara bebas.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
Semua di atas: Antara suasana semasa operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

