BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Tiga kesalahan berjaya dikesan oleh penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh semasa menjalankan Operasi Waspada 175/2025 di Kampung Salambigar, 13 September.
Operasi itu dijalankan adalah bagi menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, pemeriksaan ke atas kegiatan Pondok Gerai menjual nasi katok telah satu mendapati kesalahan di bawah Akta Pekerjaan (Penggal 278) yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu di bawah Bab 86, menempatkan pekerja-pekerja di kegiatan bukan di tempat yang diisytiharkan dan dibenarkan oleh Jabatan Buruh iaitu menempatkan pekerja-pekerja asing di pondok gerai nasi katok dan dua kesalahan di bawah Bab 112(2), kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan pembantu dapur melakukan pekerjaan sebagai menjual nasi katok manakala kegiatan yang dibenarkan adalah kedai makan tetapi majikan menjalankan kegiatan gerai menjual nasi katok.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, (Penggal 278) jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.
Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti pekerja-pekerja tidak dibenarkan ditempatkan di gerai-gerai, pekerja-pekerja hendaklah melakukan pekerjaan selaras dengan jawatan yang dibenarkan dan kegiatan hendaklah dijalankan selaras dengan kegiatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.




