Thursday, October 3, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Oracle akan labur AS$6.5 bilion di Malaysia

    KUALA LUMPUR, 2 OKT – Gergasi teknologi Oracle hari ini mengumumkan bahawa ia merancang untuk melabur lebih daripada AS$6.5 bilion dalam pusat data perkhidmatan awan di Malaysia, menyertai senarai syarikat besar AS yang berlumba membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) mereka di Asia Tenggara.

    Firma itu menyatakan bahawa wilayah awan ini akan membantu organisasi di negara tersebut memodenkan aplikasi mereka, memindahkan beban kerja ke awan dan berinovasi dengan data, analitik serta AI.

    Oracle sedang berusaha untuk mengembangkan perniagaan infrastruktur awannya di seluruh dunia. Syarikat itu baru-baru ini meramalkan bahawa ia akan meraih pendapatan melebihi AS$100 bilion pada tahun kewangan 2029, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan awan.

    Kawasan awan baharu di Malaysia itu akan menjadi yang ketiga bagi firma itu di Asia Tenggara, selepas dua kemudahan di Singapura yang berdekatan.

    “Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan unik untuk organisasi yang ingin mempercepatkan pengembangan mereka dengan teknologi digital terkini,” kata Garrett Ilg, naib presiden eksekutif Oracle untuk Jepun dan Asia Pasifik, dalam satu kenyataan.

    Logo syarikat Oracle, dilihat di Mobile World Congress (MWC), perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi, di Barcelona pada 27 Februari. – AFP

    “Pelaburan berbilion dolar kami mengesahkan komitmen kami terhadap Malaysia sebagai pintu gerbang serantau untuk infrastruktur awan serta suite komprehensif aplikasi perisian sebagai perkhidmatan yang dilaksanakan di Malaysia.”

    Kenyataan itu juga memetik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Abdul Aziz, menyambut baik pelaburan itu, dengan menyatakan ia akan membantu syarikat-syarikat dengan teknologi AI dan awan yang inovatif dan terkini untuk meningkatkan daya saing global mereka.

    “Keputusan Oracle untuk menubuhkan kawasan awan awam di Malaysia menekankan kesediaan infrastruktur Malaysia dan kedudukannya yang semakin berkembang sebagai destinasi utama di Asia Tenggara untuk pelaburan digital,” tambahnya.

    Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim kelmarin mengumumkan negara itu merancang untuk membangunkan Dasar Awan Nasional.

    Anwar berkata dasar tersebut akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama termasuk meningkatkan inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam serta memperkukuh kepercayaan pengguna dan keselamatan data. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda