GUA MUSANG – Seawal pukul 6 pagi, Rokiah Pandak, 47, sudah sibuk di pondok kecilnya kerana pada hari itu anaknya, Asunia Mok Wa Tong, 11, kembali ke asrama sekolah dan banyak yang perlu disiapkan.
Selain menyiapkan bekalan makanan, wanita Orang Asli suku kaum Temiar itu juga perlu memastikan segala peralatan sekolah anak ketiganya itu siap dimasukkan ke dalam beg di samping pakaian seragam sekolah, kemeja-T, beg, kasut, buku dan beberapa barangan lain.
Naluri ibu yang tidak mahu anaknya kelaparan apabila sampai ke asrama memandangkan sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi terletak sekitar 50 kilometer atau empat jam perjalanan dari rumah mereka di Pos Simpor, Gua Musang.
Sambil memasukkan bekas makanan yang mengandungi nasi goreng kegemaran Asunia serta bekas minuman berisi teh o panas ke dalam beg, hati kecil Rokiah meruntun sedih kerana dua ming-gu lagi baharu dapat berjumpa anaknya itu.
“Kena cepat, sebab Hilux datang pukul 10 pagi dan tidak boleh lewat sebab pemandu kena pergi banyak kampung lain untuk ambil anak-anak lain pergi sekolah,” Rokiah memberitahu Bernama.
Bukan sahaja Rokiah yang terpaksa melalui rutin sedemikian kerana ramai lagi ibu di Pos Simpor yang terpaksa berkorban berjauhan daripada anak demi memastikan mereka berpeluang mendapat pendidikan sama seperti anak-anak lain yang mendapat kemudahan yang lebih baik.
Walaupun diberikan kebenaran untuk anak-anak ini pulang ke rumah setiap dua minggu, hasil persetujuan yang dicapai antara pihak sekolah dan ibu bapa berikutan insiden hitam kehilangan tujuh murid Orang Asli, SK Tohoi pada 2015, namun belum cukup melenyapkan kebimbangan ibu bapa akan keselamatan anak-anak mereka.
Padat macam ‘sardin dalam tin’
Pos Simpor yang jaraknya dengan Gua Musang adalah sekitar 98 kilometer adalah antara penempatan Orang Asli paling jauh di pedalaman Semenanjung Malaysia dan tidak boleh ditemui di Google Maps selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan udara.
Selain faktor geografi, keadaan jalan balak yang berlopak dan bahaya menyebabkan anak-anak ini ditempatkan di asrama SK Tohoi seawal Tahun Satu dengan jumlah terkini adalah seramai 109 murid dari 12 kampung (Kg) di Pos Simpor iaitu Kampung Penad, Kampung Sedal, Kampung Sumbang, Kampung Ceranok, Kampung Dandut, Kampung Jader Lama, Kampung Pahoj, Kampung Kledang, Kampung Pos Simpor, Kampung Rekom dan Kampung Tihok.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyediakan kenderaan pacuan empat roda untuk kemudahan anak-anak pedalaman ke sekolah dan asrama.
Pada pandangan mata kasar, tidak dinafikan perkhidmatan berkenaan sebagai ‘penyelesaian’ kepada keterbatasan anak-anak kawasan di pedalaman mendapatkan akses pendidikan, namun ia bagai ‘melepaskan batuk di tangga’.
Bayangkan, untuk satu trip perjalanan, tidak kurang 20 hingga 30 murid memenuhi pacuan empat roda sesendat seperti ‘sardin dalam tin’ sehingga kebanyakan yang berada di belakang pikap terpaksa berdiri.
Pastinya keadaan ini membimbangkan kerana kenderaan berkenaan bukan sahaja tidak berbumbung yang mendedahkan anak-anak ini basah kuyup apabila hujan bahkan merisikokan mereka untuk jatuh berikutan tiadanya pagar penghadang pada kenderaan pikap berkenaan.
Banyak gaung
Maka tidak hairanlah sekiranya ada ibu bapa bertegas tidak menghantar anak mereka ke sekolah terutamanya ketika musim hujan atau tengkujuh disebabkan tiadanya jaminan akan keselamatan murid-murid ini sepanjang perjalanan pergi balik ke asrama sekolah. Demikian kata Limat Lias, 45, penduduk Kg Sedal.
“Penduduk kampung sendiri tidak tahu berapa banyak sebenarnya pikap disediakan untuk murid pedalaman Orang Asli Gua Musang kerana ia (sentiasa penuh) tidak hanya di Pos Simpor tetapi kebanyakan pos lain di Gua Musang alami masalah sama.
“Kadang dua, kadang tiga (kenderaan) yang datang tetapi semuanya penuh dan apabila hujan, jalan balak tak rata ini sangat licin, berlumpur dan bahaya sebab pemandu pikap bawa laju…Saya pernah lihat ada pemandu redah saja (lubang) seolah-olah tiada penumpang di belakang,” katanya yang mempunyai sembilan orang anak dan dua masih lagi bersekolah.
Sebelum ini, menurut Limat, pernah berlaku insiden murid sekolah terjatuh dari belakang pikap tersebut dan keadaan ini sudah tentu membimbangkan ibu bapa berikutan terdapatnya beberapa lokasi gaung di situ. – Bernama