Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Orang asli Kemboja diganggu, usir gara-gara skim kredit karbon

    PHNOM PENH, 29 FEB – Orang asli Kemboja yang tinggal di dalam hutan terlindung berkata skim kredit karbon telah menyebabkan kemusnahan tanaman dan pondok mereka, selepas siasatan Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) selama dua tahun dikeluarkan hari ini telah mendokumentasikan pengusiran secara paksa dan tuduhan jenayah.

    Skim itu, yang diiktiraf dalam perjanjian 2017 antara Kementerian Alam Sekitar dan kumpulan pemuliharaan Wildlife Alliance (WA), menyaksikan syarikat membeli kredit untuk mengimbangi pelepasan gas rumah hijau mereka, di mana pendapatan akan disalurkan ke arah memelihara salah satu hutan hujan kepelbagaian biologi yang paling banyak di dunia.

    Penduduk kampung Orang Asli Chong di barat daya Pergunungan Cardamom berkata walaupun mereka menyokong pemeliharaan, skim tersebut telah menyekat keupayaan mereka untuk bertani, mencari makanan dan mengumpul kayu api.

    “Pertama, penduduk tidak boleh bertani secara bebas kerana renjer dan WA mengganggu mereka dengan memusnahkan tanaman, merobohkan pondok dan membakar padi dan tanaman lain,” kata Ven Vorn, ahli masyarakat Chumnoab di Chhay Areng, kepada AFP.

    Dia menambah penduduk kampung bimbang tentang pelanggaran peraturan yang tidak diketahui.

    “Mereka takut ditangkap kerana tidak faham undang-undang, tidak tahu jenis hasil hutan apa yang dibenarkan untuk diambil dan apa yang tidak dibenarkan untuk diambil,” katanya. – AFP

    Gambar bertarikh 11 Mei 2012 ini menunjukkan orang asli berjalan di Pergunungan Cardamom di wilayah Koh Kong. Orang Asli Kemboja menghadapi gangguan, penangkapan dan pengusiran paksa dari wilayah tradisional mereka akibat projek kredit karbon. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda