LAHAD DATU, 30 Jan – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) melarang orang awam di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) memakai atau menggunakan pakaian dan kelengkapan seperti anggota pasukan keselamatan di kawasan itu.
Komandernya, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang gagal mematuhi larangan tersebut.
“Dinasihatkan orang awam tidak memakai atau menggunakan pakaian celoreng tentera atau pakaian polis dan senjata-senjata tertentu yang boleh mendatangkan kegusaran serta kebimbangan daripada masyarakat setempat.
“Tindakan (larangan) ini bertujuan bagi menjamin kesejahteraan semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada 21 Jan lepas, polis telah menahan sekumpulan orang awam berpakaian celoreng seolah-olah anggota pasukan keselamatan, di Tawau.
Sehubungan itu, Hazani menasihatkan penduduk di Esszone supaya memberi kerjasama serta dapat menyalurkan maklumat kepada ESScom sekiranya tahu berkaitan individu atau kumpulan yang mencurigakan dan berpakaian seperti anggota pasukan keselamatan.
Bernama sebelum ini melaporkan polis Tawau menahan 15 individu termasuk tujuh wanita disyaki anggota sebuah pertubuhan dikenali sebagai Pemuda Panca Marga di Kampung Tas Anderasi.
Kesemua yang ditahan berumur antara 13 hingga 60 tahun dan ketika ditahan 11 daripadanya memakai pakaian celoreng. – Bernama