Orang awam diingatkan terus patuhi arahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Orang ramai khususnya para jemaah yang menunaikan sembahyang Fardu Jumaat diingatkan bahawa pemakaian penutup mulut dan hidung masih dimestikan ketika berada di dalam kawasan masjid di samping membawa sejadah sendiri dan mengimbas kod QR apabila memasuki masjid atau surau.

“Sesiapa yang tidak mematuhi arahan ini adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 yang mana seseorang itu boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato turut mengingatkan kepada orang ramai untuk terus mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan serta mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan mengamalkan kebersihan diri, etika bersin yang betul, digalakkan memakai penutup hidung dan mulut apabila berada di tempat awam yang penuh sesak dan jika merasa kurang sihat, tidak menghadirkan diri ke tempat-tempat awam dan majlis-majlis keramaian.

Di samping itu, tambahnya, orang ramai juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR setiap kali apabila masuk dan keluar dari premis-premis terutamanya di tempat-tempat awam seperti gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai runcit, restoran-restoran, kedai kecantikan, kedai gunting dan lain-lain.

Dalam hubungan itu, pengurus-pengurus premis dinasihatkan untuk mencetak dan memaparkan kod QR di tempat masuk masing-masing serta orang ramai juga disyorkan untuk mengambil serius dalam penggunaan aplikasi BruHealth terutama dalam mengimbas kod QR kerana ia adalah penting dalam membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan pengesanan kontak dengan segera.