Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Orang ramai yang dikenakan perintah kuarantin (QO) di rumah diseru mengemaskinikan nombor telefon masing-masing untuk memudahkan pihak Kementerian Kesihatan menghubungi mereka bagi memastikan tahap kesihatan mereka.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini mengongsikan masih terdapat 30 orang yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing dan sukar dihubungi oleh pihaknya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan mereka meletakkan nombor boleh dihubungi di BruHIMS dan BruHealth agar mereka boleh mudah ditelefon.
Menurutnya lagi, dengan bertambahnya tempat pengasingan khas, kementerian mahu membawa semua yang tidak bergejala ke tempat pengasingan.
“Sementara menunggu pusat pengasingan ini lengkap, kita mengutamakan mereka yang mempunyai gejala dan mereka yang tidak mempunyai gejala tetapi rumah mereka dianggap tidak sesuai untuk menjalani kuarantin, tambahnya.
Setakat ini, meskipun masih ramai yang menjalani kuarantin di rumah, kumpulan pengurusan pesakit di luar sudah pun menghubungi mereka bagi bertanyakan soalan mengenai keadaan mereka.