Pelakon Malaysia, Emma Maembong akhirnya tampil membuka mulut mengenai perihal rumah tangganya dengan bekas suami iaitu Shazli Azhar selepas mengumumkan penceraian mereka pada 7 Oktober lalu.
Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 32, menjelaskan punca keretakan perkahwinan mereka bukan disebabkan kehadiran orang ketiga sebaliknya keputusan bercerai dibuat secara bersama.
“Kalau fasal peribadi memang saya tak akan cerita apa-apa. Saya tidak akan kongsi.
“Tiada (orang ketiga), semuanya tiada. Kami berpisah cara baik, kami tidak bergaduh dan kedua-duanya faham.
“Kita cuba perbaiki hubungan tapi bila sudah sampai situ jodohnya, sampai situ sajalah.
Kita reda dan percaya jodoh di tangan Allah, kita tak payah risau. Kita hanya berdoa saja,” katanya kepada mStar.
Emma berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan filem seram pertamanya, Jangan Pandang Belakang 2 di The Starling, pada malam Selasa.
Tambah Emma, dia juga tidak mengambil peduli terhadap pelbagai komen negatif dilontarkan kepadanya di media sosial termasuk kononnya sudah menemui pengganti.
Kata aktres itu, dia hanya mahu memberikan fokus membesarkan dua anak lelakinya selain kerjayanya sebagai pelakon.
“Kehidupan saya sekarang ini saya hanya fokus pada anak-anak dan kerja, tiada masa nak fikir fasal benda lain.
“Saya pun tiada masa nak tengok TikTok dan sebagainya. Kalau saya scroll pun saya nampak berkaitan dengan saya, saya skip demi kebaikan kesihatan mental saya.
“Saya tak nak baca komen negatif, sebab dalam dunia ini tak semua orang suka kita. Saya rasa pun tiada guna saya nak cakap lebih,” ujarnya. – Agensi