JAKARTA – Pada hari hujan di ibu negara Indonesia Jakarta, tiga lelaki yang disalut dengan cat logam dikenali sebagai ‘manusia silver,’ atau orang perak, mengharungi elemen cuaca di persimpangan berhampiran pusat membeli-belah untuk meminta pemandu duit kecil.
Ia adalah tindakan yang datang dengan risiko kesihatan, yang dirasakan oleh sesetengah anak muda Indonesia perlu untuk menampung kehidupan ketika kos sara hidup semakin teruk dan pekerjaan berkurangan selepas pandemik COVID-19.
“Saya malu untuk mendapatkan wang seperti ini. Saya mahu mencari pekerjaan sebenar yang lebih bermaruah,” kata Ari Munandar, 25.
“Tetapi rasa malu itu hilang apabila awda ingat bahawa anak perempuan awda dan isteri awda ada di rumah.”
Berkaki ayam, hanya berpakaian seluar pendek dan disapu dari kepala ke kaki dengan cat yang menjengkelkan, Ari, abangnya Keris dan rakan mereka Riyan Ahmad Fazriyansah masing-masing mengambil satu lorong di jalan raya.
Apabila kereta berhenti, mereka melakukan gaya robot di hadapan pemandu.
“Selamat petang, selamat memandu,” kata Ari.
Gaya atau lagak tersebut tidak mempunyai makna selain untuk menarik wang tunai.
“Saya melakukannya kerana suatu hari saya melihat seorang rakan memperoleh lebih banyak wang dengan melakukan aksi seperti ini,” katanya, bergerak di antara kereta, menghulurkan baldi untuk sumbangan derma.
Pada hari yang baik, mereka boleh meraih sehingga 200,000 rupiah (AS$12), tetapi biasanya memperoleh sekitar 120,000.
Ia jauh lebih rendah daripada gaji minimum bulanan Jakarta sebanyak lima juta rupiah dan hampir tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian.
“Saya tidak akan makan tengah hari, hanya minum dan merokok,” kata Ari.
Setiap sen adalah penting di negara yang menyaksikan harga barangan telah meningkat secara berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sekilogram beras, makanan ruji utama kepulauan itu, melonjak sebanyak 27 peratus antara 2015 dan 2025, menurut data agensi perangkaan.
Dan di sebalik cat, rakan-rakan berkenaan jelas kurang zat pemakanan.
Tiada yang lebih tinggi daripada 172 sentimeter (lima kaki lapan inci) atau mempunyai berat lebih daripada 55 kilogram.
‘MEMEDIHKAN MATA SAYA’
Kekurangan peluang pekerjaan merupakan punca utama lelaki dan wanita muda turun ke jalanan, menurut mereka.
“Sejak saya diberhentikan kerja pada 2019 saya telah mengemis,” kata Ari.
“Sebelum itu, saya bekerja membersihkan tandas.”
Menurut data kerajaan, bilangan orang yang hidup di bawah paras kemiskinan di metropolitan Jakarta megalopolis dengan 11 juta penduduk meningkat daripada 362,000 pada 2019 kepada 449,000 pada September 2024.
“Ramai anak muda yang mempunyai sedikit kelayakan antara umur 20 dan 40 tahun mendapati diri mereka menganggur,” kata Bhima Yudistira, pengarah eksekutif Pusat Pengajian Ekonomi dan Undang-undang.
“Walaupun tidak adanya pengiraan nasional, terdapat peningkatan besar dalam pengemis di Jakarta selepas pandemik 2021.”
Selepas lima jam di persimpangan jalan, kumpulan itu pulang ke rumah dengan menaiki tuk-tuk.
Ketiga-tiga mereka bersesak-sesak di belakang kenderaan, mengira pendapatan mereka yang tidak seberapa dan menyalakan sebatang rokok untuk berkongsi sama.
Setelah diturunkan, mereka berjalan menyusuri tepi sungai yang tercemar dan melintasi landasan kereta api ke kawasan setinggan tempat tinggal mereka di Jakarta.
Jauh dari bangunan pencakar langit di ibu negara, kanak-kanak bermain berhampiran landasan mengikut rentak kereta api ketika Ari kembali untuk menanggalkan cat perak.
Cat, sama seperti yang digunakan untuk mencetak skrin pada fabrik, tidak mudah ditanggalkan.
Sambil bercangkung di hadapan perigi dan baldi berisi air, dia menyimbah tubuhnya sebelum menggosok dengan kuat, sambil memerhati anak perempuannya Arisya yang berusia setahun.
“Pada mulanya cat terasa terbakar dan saya mempunyai lepuh di leher, tetapi kini ia hanya membuat mata saya pedih,” katanya. – AFP