LABUAN, 6 MEI – Terminal feri di Labuan sesak apabila orang ramai mula pulang ke pulau bebas cukai ini selepas hampir seminggu bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Jabatan Laut Labuan lebih 18,000 penumpang serta 4,000 kenderaan meninggalkan Labuan untuk ke Sabah melalui terminal feri bermula 25 April hingga 2 Mei lepas.
Pengerusi Labuan Mainland Link Sdn Bhd Datuk Chin Hon Vui berkata kesesakan itu telah dijangka dan mampu ditangani.
“Sebagai pengusaha feri yang telah bertahun-tahun beroperasi, kami mempunyai pengalaman menguruskan kebanjiran penumpang, malah sebelum pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.
Hon Vui berkata susulan tambahan perjalanan, kru feri dan petugas di kaunter tiket di kedua-dua terminal Labuan dan Menumbok perlu bekerja sepanjang masa. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P9-2Labuan_07052022.jpg)