KUALA LUMPUR, 28 MEI – Umat Islam di seluruh negara memanfaatkan peluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di lokasi masing-masing susulan fenomena Istiwa’ A’dzam pada 5:18 petang hari ini.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Falak) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Muhammad Saidul Marjuni berkata Istiwa’ A’dzam adalah fenomena yang berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei (5:18 petang) dan 16 Julai (5:26 petang) apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Mekah yang menjadi kiblat umat Islam ketika mendirikan solat.
“Bayang yang dihasilkan oleh matahari pada ketika itu (masa yang ditetapkan pada kedua-dua tarikh tersebut), betul-betul tepat menghala ke arah kiblat.
“Kami sarankan umat Islam supaya memastikan ketepatan arah kiblat di rumah masing-masing agar kita dapat beribadah dengan lebih tepat dan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas mendemonstrasikan kaedah menyemak arah kiblat kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Muhammad Saidul menerangkan kepada pengunjung di sini bagaimana arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan arah bayang menggunakan beberapa objek yang lazimnya mudah didapati di rumah seperti benang, kertas dan batang penyapu atau apa-apa objek tegak. – Bernama