Orang ramai perlu adaptasi revolusi digital

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Era Revolusi Perindustrian 4.0 sebenarnya tanpa kita sedari dipercepatkan lagi oleh pandemik COVID-19 di negara kita amnya dan seluruh dunia khasnya.

Penerapan drastik dan pantas Revolusi Perindustrian 4.0 ini dengan sendirinya perlu diambil positif dan diterima pakai oleh semua orang. Meskipun pada awalnya ia tampak agar sukar dilakukan dan diikuti, orang ramai terpaksa menurut aliran digital ini untuk terus mengadaptasinya.

Dengan tatacara pemberigaan berterusan dan pengajaran teratur, jelas dan mudah difahami, ia kini semakin diterima dan diadaptasi masyarakat atas keperluan semasa dan agenda situasi yang sedang kita hadapi.

Penggunaan aplikasi BruHealth dan kod QR misalnya pada awalnya terdapat kekurangan dan sukar diterima masyarakat terutama golongan berusia, namun kod-kod dan aplikasi canggih seumpamanya semakin banyak dipraktikkan di seluruh dunia.

Wartawan Media Permata berkesempatan meninjau pendekatan aplikasi dan kod QR ini dengan menemu bual seorang warga emas, Haji Hamdan Sulaiman, 60, melalui telefon.

Pelanggan yang ingin memasuki premis perniagaan perlu terlebih dahulu mengimbas kod QR yang disediakan.

Menurut Haji Sulaiman, orang ramai terutamanya golongan warga emas perlu berfikiran terbuka kerana aplikasi dan kod yang digunakan adalah relevan dengan situasi pandemik semasa. Beliau menyeru ia ditambahbaikkan lagi agar keberkesanannya dapat digunakan di kawasan-kawasan lebih menyeluruh namun dalam masa yang sama, tidak terlalu menyukarkan golongan warga emas dan orang muda.

Beliau juga menyarankan ia diaplikasikan lebih meluas bukan sahaja setakat yang dibenarkan sekarang seperti di restoran, gim dan masjid-masjid, malah premis perniagaan lain, pejabat kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah dan institusi akademik, sebagai wadah yang lebih mesra pelanggan, sekali gus menjamin keselamatan semua.

“Ini kerana penghasilan data yang diperoleh melaluinya amat berguna dan memberi impak dalam sudut kemas kini kesihatan, perekonomian dan kemasyarakatan.

“Di samping itu, ia juga memudahkan lagi catatan banci penduduk dan pengguna sebagai sukat-sukat untuk infrastruktur dan kemajuan dalam pelbagai hala,” tambahnya.

Menurutnya lagi, ini adalah berkat keberkesanan dan inisiatif pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengusahakan dan menaiktarafkan sistem komunikasi domestik dan rangkaian telekomunikasi dasar laut yang memakan belanja yang besar namun bermanfaat dan menguntungkan negara serta rakyat pada masa depan.

Berdasarkan pemerhatian wartawan, sebilangan besar negara-negara di dunia ini mungkin akan kembali normal dalam perkadaran 80 peratus pada akhir tahun 2020 sehingga awal 2021 dan kebanyakan prasarana akan dibuka secara umum dan berperingkat-peringkat, namun penggunaan aplikasi seperti BruHealth dan kod QR besar kemungkinan akan te rus digunakan sebagai normal baharu yang berguna dalam agenda kemasyarakatan seperti kesihatan, perekonomian, pendidikan, perhubungan dan sistem kemas kini peribadi.

Segala usaha dan pendekatan sebegini juga tidak dapat dijalankan tanpa sambutan dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini yang inginkan kehidupan harmoni dan aman damai.